ZAIN SAIDIN DAN ROZITA CHE WAN BAKAL BERKAHWIN

January 22, 2013



“Kalau ada rezeki dan ada jodoh, kami akan berkahwin pada tahun ini,” itu komen Zain Saidin apabila diminta mengulas tentang status hubungannya dengan Rozita Che wan. Komen lanjut daripada Zain ini sememangnya ditunggu-tunggu selepas dia meluahkan perasaan terhadap Rozita melalui akaun Instagram miliknya baru-baru ini.
Tambah Zain lagi, dia dan Rozita sudah pun berbincang tentang perkahwinan mereka dan Rozita menyerahkan keputusan di tangannya.
“Che Ta (Rozita) tidak ada letak sebarang dateline kepada saya. Tetapi sudah tentu saya perlukan masa untuk buat persiapan. Sebabnya, saya lelaki dan saya perlu ada sejumlah wang untuk perbelanjaan kahwin. Sebab itu saya kata, kalau ada rezeki, kami akan berkahwin pada tahun ini. Saya dan Che Ta memang serius. Kalau terdengar gosip tentang Che Ta berpasangan dengan lelaki lain, itu tidak benar. Dia bersama saya ketika ini,” ujar Zain tegas.
Dalam masa yang sama, Zain turut mempertahankan tindakannya meluahkan kata-kata cinta terhadap Rozita Che wan di akaun Instagram. Biarpun ada yang menganggap tindakannya itu bagaikan mencari publisiti murahan, tetapi Zain punya pendapat sendiri.
“Tak kisahlah orang hendak kata apa pun. Saya buat begitu kerana saya tidak mahu lagi orang mengawal  pergerakan atau tindakan saya. Kalau saya tidak berterus-terang pun, orang masih akan bercakap. Jadi, lebih baik saya akui perkara itu. Sama ada orang boleh terima atau tidak, itu terpulang kepada mereka. Saya tidak boleh menangkan hati semua orang,” tambah Zain lagi.
Memandangkan Rozita merupakan ibu kepada dua orang anak lelaki, Zain turut ditanya tentang hubungannya dengan anak-anak Rozita. Adakah hubungannya mendapat tentangan mereka atau sebaliknya?
“Saya dengan anak-anak Che Ta tidak ada masalah. Hubungan kami baik-baik sahaja. Lebih-lebih lagi dengan anak keduanya. Kami berkongsi minat yang sama iaitu bola sepak. Tidak sukar mendekati anak-anak Che Ta sebab mereka peramah macam ibu mereka,” ujar Zain.
Dalam perkembangan lain, Zain akan bertolak ke Amsterdam pada 24 Februari hadapan bagi menjalani penggambaran sebuah telemovie. Zain akan bergandingan dengan Rita Rudaini sebagai pasangan suami isteri. Ironinya, Zain memegang watak Maliq, seorang jejaka yang jatuh cinta dengan seorang janda beranak dua.
“Ketika mendapat tawaran lakonan ini saya rasa hendak tergelak sebab menyedari watak ini ada kena-mengena dengan saya. Tapi, saya tidak kisah pun. Saya buat atas dasar kerja,” ujar Zain yang bakal muncul dalam siri Oh My English! musim terbaru.

You Might Also Like

0 comments

About Me

Like us on Facebook

Popular Posts

Flickr Images