Pelawak A.R Badul Diburu Polis Kerana Mencabul Budak 13 Tahun??




KUALA LUMPUR: Seorang pelawak berusia 63 tahun yang popular sejak era 70-an diburu polis selepas seorang pelajar perempuan membuat laporan mendakwa dicabul lebih tiga kali lelaki itu.
Lebih keji, pelawak otai yang lebih memberi tumpuan dalam bidang pengarahan itu dikatakan menyogok sejumlah wang kepada pelajar berusia 13 tahun itu dengan harapan mangsa patuh kepada arahan, selain tidak membongkar kejadian itu kepada ahli keluarga serta orang ramai termasuk ibu saudara mangsa yang juga rakan baiknya.

Difahamkan, pelajar malang itu dicabul lebih tiga kali sejak Disember 2010 hingga pertengahan Mac lalu, di dua kediaman berasingan milik ibu saudara mangsa di Kepong dan Klang, selain beberapa kali di luar kediaman berkenaan apabila mereka bertemu.

Akibat tidak tahan dengan perbuatan keji itu, pelajar terbabit membuat laporan di Balai Polis Jinjang, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Sumber polis berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira jam 11 malam Disember tahun lalu di sebuah rumah di kondominium di Kepong apabila mangsa dicabul di kediaman ibu saudaranya itu.

Beliau berkata, ketika kejadian suspek berkunjung ke rumah berkenaan kononnya melawat ibu saudara mangsa yang juga rakan baiknya.


“Bagaimanapun, selepas berbual lebih 30 minit, ibu saudara mangsa mendakwa letih dan mahu tidur sebelum mengarahkan suspek berehat dalam bilik tetamu jika tidak mahu pulang.

“Suspek bersetuju sebelum masuk ke bilik berkenaan. Lima minit kemudian suspek keluar semula sebelum memanggil mangsa masuk ke dalam bilik berkenaan dan meminta mangsa mengurut badannya,” katanya.


Mangsa pada mulanya menolak, namun bersetuju berbuat demikian selepas dipujuk suspek.

“Sebaik masuk ke dalam bilik itu, suspek dikatakan mencium mulut dan pipi mangsa serta memegang bahagian sulit mangsa.

“Tersentak dengan perbuatan itu, mangsa berlari keluar dari bilik. Bimbang mangsa mengadu kepada ibu saudaranya, suspek memohon maaf, selain berjanji tidak akan mengulanginya.

“Termakan pujukan suspek, mangsa bersetuju merahsiakan perbuatan itu. Malah, suspek dikatakan menyogok RM100 kepada mangsa sebelum berpura-pura insaf dengan keterlanjurannya itu,” katanya.

Sumber berkata, kejadian terbaru berlaku pertengahan Mac lalu kira-kira jam 5.30 petang di sebuah lagi rumah ibu saudara mangsa di Klang.

“Kejadian berlaku dalam tandas di rumah berkenaan apabila suspek meluru masuk sebelum mencabul mangsa yang ketika itu ingin membuang air. Kali ini, bertindak lebih ganas ketika memegang bahagian sulit dan payudara mangsa,” katanya.

Difahamkan, suspek sekali lagi memberikan wang RM100 kepada mangsa untuk menutup mulut.

Biarpun mangsa enggan menerima wang berkenaan, suspek dikatakan meletakkan wang itu di atas meja sebelum meninggalkan rumah berkenaan.

Sumber berkata, disebabkan mangsa masih mendiamkan diri selepas insiden itu, dia dikatakan dicabul lagi suspek setiap kali bertemu ataupun apabila suspek berkunjung ke kediaman ibu saudaranya itu.

Tidak tahan dengan perbuatan itu, mangsa memberitahu ibu saudaranya sebelum mereka tampil membuat laporan di balai polis.

Katanya, sehingga kini, suspek masih belum ditahan, namun usaha memburunya giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.

sumber: Metro online dan Pouch Note
Tak Nak Komen, LIKE Pon Boleh :)

Sudah Baca Harap Balas :)

Related Posts with Thumbnails